Koperasi Utusan anjur karnival mini


KUALA LUMPUR - Koperasi Utusan Melayu Malaysia Berhad (Koperasi Utusan) akan mengadakan karnival mini di pekarangan ibu pejabat Utusan Melayu sempena Mesyuarat Agung Tahunannya yang keenam esok.

Pengerusi Koperasi Utusan, Mohd. Ridzwan Md. Iman berkata, karnival yang julung kali diadakan itu bertujuan merapatkan hubungan sesama ahli.

“Karnival mini ini bakal dijadikan acara tahunan jika mendapat sambutan baik. Program akan bermula pada pukul 10 pagi hingga 10 malam,” katanya ketika ditemui, di sini hari ini.

Mohd. Ridzwan berkata, antara aktiviti diatur ialah pendaftaran ahli, cabutan bertuah, karaoke, jualan trak makanan dan pakaian.

Katanya, selain baucar beli-belah percuma untuk ahli koperasi bagi yang hadir, trak-trak makanan terutama Milo turut memberi minuman percuma.

“Paling menarik, ahli-ahli lama berpeluang mendapat dua cabutan bertuah iaitu cabutan keha­diran di karnival dan cabutan bertuah utama kerana mengha­diri mesyuarat agung,” katanya.

Cabutan bertuah utama adalah telefon pintar iPhone, televisyen LCD, kamera dan pelbagai bara­ngan elektrik berjenama.

“Antara penaja ialah UEM Group, Petron, TNB, DRB-Hicom, Acorn Communication, Giant, Angkasa, Pharmaniaga, Mamee, MAVCAP dan Dominos. Lebih 500 ahli serta kakitangan bakal hadir untuk memeriahkan lagi karnival tersebut.

“Kita juga mengalu-alukan pendaftaran ahli baharu dan mereka bakal mendapat pelbagai barangan cenderahati daripada pihak koperasi sekiranya berbuat demikian pada hari tersebut,” katanya lagi. - Utusan Online
Previous
Next Post »