Karnival mini Koperasi meriah, jualan menggalakkan

Sebahagian kakitangan Utusan mengunjungi Karnival Mini Koperasi.
KUALA LUMPUR - Lebih 500 kakitangan Kumpulan Utusan membanjiri Karnival Mini anjuran Koperasi Utusan Melayu Malaysia Berhad (Koperasi Utusan) yang diadakan di pekarangan Ibu pejabat Utusan Melayu sempena Mesyuarat Agung Tahunannya hari ini.

Pengerusi Koperasi Utusan, Mohd. Ridzwan Md. Iman berkata, sempena penganjuran karnival itu pelbagai aktiviti diatur antaranya pendaftaran ahli koperasi baharu, cabutan bertuah, pertandingan karaoke serta jualan makanan dan pakaian.

“Buat masa ini kita mempunyai keahliaan kira-kira 300 orang dan pada hari ini lebih 20 kakitangan mendaftar sebagai ahli baharu. Mereka yang mendaftar diberikan kupon membeli belah yang boleh ditebus di Koperasi Utusan.

“Ini merupakan program yang julung kali diadakan dan ia merupakan salah satu cara koperasi untuk menghargai ahlinya,” katanya ketika ditemui di majlis tersebut di sini.

Tambahnya, ahli koperasi berpeluang mendapat cabutan bertuah antaranya telefon pintar iPho­ne, televisyen LCD, kamera dan pelbagai barangan elektrik berjenama yang kesemunya ditaja oleh UEM Group, Petron, TNB, DRB-Hicom, Acorn Communication, Giant, Angkasa, Pharmaniaga, Mamee, MAVCAP dan Dominos.
Gerai jualan pakaian antara menjadi tumpuan pengunjung.
Selain itu, bagi salah seorang pempamer yang menyertai program tersebut, Ban Long, 28 yang juga merupakan Pengasas Bersama ChewEw Social Enterprise berkata, penganjuran program tersebut memberi ruang dan peluang kepadanya untuk memperkenalkan produk syarikatnya iaitu biskut raya yang dibuat oleh golo­ngan Orang Kurang Upaya (OKU).

“Kami melatih golongan OKU untuk membuat biskut raya dan secara tidak langsung dengan penganjuran program sebegini mampu memberi manfaat dan kebaikan kepada golongan OKU tersebut.

“Saya ucapkan terima kasih kepada Koperasi Utusan kerana bermurah hati untuk menjemput kami mengambil bahagian dalam program kali ini, dan setakat ini jualan amat memberangsangkan dan saya yakin warga OKU tersebut mesti gembira apabila dapat tahu air tangan mereka mendapat sambutan hangat di sini,” jelasnya.
Previous
Next Post »