Pulihkan kewangan komitmen ALK baharu


KUALA LUMPUR  - Memulihkan kewangan dan mengembalikan keuntungan menjadi komitmen utama barisan kepimpinan baharu Koperasi Utusan Melayu Malaysia Berhad yang dipilih dalam mesyuarat agung tahunannya baru-baru ini.

Pengerusinya, En Mohd Ridzwan Md Iman berkata, pada masa kini Koperasi berada dalam trek yang betul untuk kembali pulih selepas dua perbelanjaan Koperasi mengalami defisit ekoran kerugian yang ditanggung  projek terdahulu.

Beliau berkata, walaupun Koperasi menampakkan perkembangan baik menerusi perniagaan pengiklanan namun pada masa kini keadaan kewangan masih dianggap 'sakit'.

"Kalau diikutkan kita masih sakit sebab kalau dibandingkan jumlah ahli dan kewangan kita ia tidak seimbang. Namun kita berada dalam trek yang betul hasil beberapa projek yang sedang dan akan kita laksanakan selepas ini," katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Lembaga Koperasi kali pertama bagi sesi 2017-2018 semalam.

Menurutnya antara sektor perniagaan yang akan diberikan penekanan dan memberi prospek yang baik kepada koperasi ialah pengiklanan serta pengedaran akhbar dan majalah.

Sehubungan itu, katanya, koperasi akan mengadakan perbincangan dengan pengurusan tertinggi Utusan untuk membolehkan kerjasama yang lebih baik dapat dibentuk antara kedua-dua pihak.

"Kita akan mengadakan pertemuan dengan Pengarah Urusan Kumpulan Utusan, Datuk Mohd. Noordin Abbas dan Ketua Pengarang Kumpulan, Datuk Abdul Aziz Ishak untuk menyelesaikan beberapa isu antara koperasi dan majikan.

"Tiga isu utama yang akan kita bawa dalam pertemuan tersebut iaitu soal pemotongan gaji ahli-ahli koperasi, sewa kedai dan kebenaran koperasi mencari iklan untuk UMES," katanya.

Katanya, jika ketiga-tiga isu tersebut dapat dicapai kata sepakat dengan pihak Utusan beliau yakin koperasi akan kembali mencatatkan keuntungan, sekali gus membolehkan bayaran bonus dapat diberikan kepada seluruh ahli.

Newest
Previous
Next Post »